Saturday, November 20, 2010

Pengorbanan tiga insan agung di sebalik sambutan Aidiladha~!!!


AIDILADHA yang kita sambut mengandungi kisah sejarah tiga manusia agung, yang sepatutnya dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat.

Mereka adalah Nabi Ibrahim sebagai bapa. Siti Hajar sebagai isteri solehah yang bertakwa kepada Allah dan ibu penyayang serta mempunyai kesabaran luar biasa yang tiada tolok bandingnya. Seorang lagi, Nabi Ismail sebagai anak soleh yang berjiwa takwa, tawakal hingga sanggup disembelih oleh bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah salah seorang rasul bergelar ‘Ululazmi’. Baginda juga memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk meninggikan dan mendaulatkan agama Allah.

Nabi Ibrahim sentiasa berdakwah bukan saja kepada diri dan keluarganya, malah kepada kaumnya dan orang lain. Baginda berdakwah bukan saja di tanah airnya, malah berpindah-randah, mengajak manusia beriman dan membangun agama. 

Dalam melaksanakan tugas mulia dan suci ini, baginda menghadapi tentangan yang hebat daripada kaumnya hingga ke peringkat rancangan membunuhnya oleh Raja Namrud. Nabi Ibrahim ditangkap, lalu dicampakkan ke dalam unggun api yang marak menyala menjulang tinggi. 

Semua itu tidak mematahkan semangatnya. Baginda hadapi dengan sabar dan penuh tawakal. Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah kerana baginda adalah khalilullah (yakni rasul yang mempunyai hubungan sangat akrab dengan Tuhannya)

Nabi Ibrahim menempa sejarah gemilang, meninggalkan warisan berharga kepada umat Islam seluruhnya. Ia terus dinikmati dari dulu hingga sekarang, bahkan selagi masih wujud cahaya matahari dan bulan. Nabi Ibrahim bersama isterinya, Siti Hajar dan puteranya, Nabi Ismail meneroka dan membangun Makkah yang menjadi kota suci dan pusat ibadat bagi orang Islam. 

Nabi Ibrahim telah membawa Siti Hajar bersama Ismail yang masih bayi, meredah lautan padang pasir yang luas dalam cuaca panas terik pada siang dan terlalu dingin pada malam dari Palestin ke Makkah, yang jaraknya lebih seribu kilometer. 

Betapa sulit dan susahnya pada waktu itu, tiada sebarang kemudahan kenderaan seperti yang ada sekarang ini. Kalau ada tunggangan pada waktu itu, mungkin unta yang berjalan seperti kura-kura. 

Alhamdulillah, berkat kesabaran serta cita-cita yang menggunung tinggi, akhirnya Nabi Ibrahim bersama isteri dan anaknya selamat menjejakkan kaki di bumi suci di sisi Baitullahilharam, yang wujud sejak jutaan tahun yang silam.

Kemudian tidak lama selepas itu Nabi Ibrahim dan Siti Hajar menerima satu lagi ujian yang lebih berat. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim pulang ke Palestin.

Keadaan itu kerana di sana sudah ada ramai manusia yang perlu terus dipimpin, diberi dakwah serta tarbiah oleh Nabi Ibrahim. 

Cuba gambarkan betapa sedih dan pilunya seorang insan hendak berpisah daripada isteri dan anak yang disayangi. 



Demikian juga Siti Hajar, betapa derita yang bakal ditanggung kerana ditinggalkan oleh suami tersayang di tempat yang sunyi sepi, tiada manusia, air dan tumbuh-tumbuhan. Namun, ujian yang sangat berat itu diterima oleh Nabi Ibrahim dan isterinya dengan penuh rela dan kesabaran.

Sebelum meninggalkan anak dan isteri yang disayangi di sisi Kaabah, Nabi Ibrahim berdoa seperti terakam di dalam al-Quran, surah Ibrahim, ayat 37 bermaksud: “Wahai Tuhanku, aku telah menempatkan keluargaku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tandus, tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di sana) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah sebahagian daripada manusia tertarik hati kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke sana), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur."

Nabi Allah Ibrahim berdoa lagi, maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah (negeri Makkah) ini sebagai negeri yang aman dan sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka."

Berkat doa Nabi Ibrahim serta ketakwaan dan kesabaran Siti Hajar, akhirnya wujud telaga Zam-Zam, yang airnya tidak putus-putus dan Makkah pula mula dikunjungi manusia. 

Akhirnya, Makkah menjadi sebuah kota suci yang aman dan makmur. Makkah sentiasa dikunjungi umat Islam dari seluruh pelosok muka bumi sepanjang tahun kerana menunaikan umrah, ziarah dan haji.

Pada satu peringkat, Nabi Ibrahim menerima ujian yang sangat berat. Sewaktu sedang bermesra dengan anak kesayangannya selepas sekian lama tidak bertemu, tiba-tiba diperintahkan oleh Allah supaya menyembelih anak itu.

Allah merakamkan kisah simbolik yang amat bermakna dan menyayat hati ini di dalam al-Quran, surah as-Saffat ayat 102 hingga 108 bermaksud:

"Maka anak itu sampai (kepada kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Anaknya menjawab: "Wahai bapaku!, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar."

Maksud ayat: "Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu - telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya: "Wahai Ibrahim ! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu! demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian."

Begitulah perjuangan dan pengorbanan agung yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya.



selamat hari raya Aidiladha~!!!
maaf zahir dan batin 
p/s : malam ini akan bertolak balik ke uia. 
Spek yang kucari selama ini akhirnya ketemu jua. Alhamdulillah. 
Terima kasih mama dan abah atas kenangan semalam. Sayang mama dan abah. 
Ya Allah, kuatkanlah aku dalam jalanMu ini. Hanya padaMu aku merintih kerana aku tahu Engkau Maha Mendengar.

No comments:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...