Tuesday, March 23, 2010

BAHAGIA MENGHADAPI UJIAN ALLAH


www.iLuvislam.com
oleh : harithah_addin88
editor : almusafirq8
Dalam meniti arus kehidupan,manusia seringkali diuji oleh Allah s.w.t. Ada sahaja yang menimpa diri,sehingga kekadang dirasa sudah tidak tertahan dengan ujian yang dihadapi.Bukan sengaja merintih nasib diri tetapi dugaan yang bertimpa-timpa sedikit sebanyak menguji keimanan yang tidak sekuat mana pun.
Ya,manusia memang mudah merasa sengsara apabila diasak bertubi-tubi dengan ujian dariNya.Hinggakan terlupa suatu hakikat bahawa orang yang diuji oleh Allah itu adalah hamba-hambaNya yang Dia sayangi.Firman Allah dalam Surah Ali Imran:139 yang bermaksud,

 “Dan janganlah kamu merasa lemah,dan jangan pula kamu bersedih hati,sebab kamu paling tinggi derajatnya,jika kamu orang yang beriman.”
.




Justeru,mengapa memilih untuk berkeluh kesah dan menderita?Sedangkan kebahagiaan menanti dalam setiap ujian yang dihadapi.Tinggal lagi manusia yang harus mencarinya dengan hati yang tulus dan suci.Bagaimana? 
1.Bergantung harap hanya pada Allah Rabbul ‘Alamin. 
Allah yang mendatangkan ujian kepada manusia,jadi penawarnya juga ada padaNya.Manusia yang bertaqwa tidak akan membiarkan dirinya hanyut melayan perasaan sengsara,tetapi tetap bersyukur dengan ujian yang menimpa kerana dalam mengharunginya dia telah dianugerahkan ketabahan dan kesabaran.Maksud Firman Allah dalam Surah At-Taubah:129,

”Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia.Hanya kepadaNya aku bertawakkal,dan Dia adalah tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung.” 

2.Mengimani dan meyakini qada’ dan qadar Allah. 
Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hambaNya.Kerana Dia adalah Khalik,Zat yang mencipta manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain.Allah telah menetapkan aturan terhadap manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain mengikut ilmuNya yang Maha Luas,itulah yang dipanggil sunnatullah.Segalanya mengikut qada’ dan qadarNya.Manusia yang bertaqwa akan meyakini segala ujian yang dihadapi adalah ketetapan untuknya dari Allah dan ada hikmah serta rahmat di sebaliknya.Firman Allah dalam Surah At-Talaq:3 yang bermaksud

“…Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah,niscaya Allah akan mencukupkan urusannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya.Sungguh,Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap sesuatu.” 

3.Mengimpikan kebahagiaan yang abadi di dunia dan akhirat. 
Kiasannya,langit tidak akan selalunya mendung pasti terbit jua sang mentari di ufuk timur.Allah pasti menyusulkan kemudahan di setiap kesusahan yang diberikan kepada hambaNya.Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah:5 dan 6 yang barmaksud,

 “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” 

Manusia yang bertaqwa bukan sahaja menginginkan kebahagiaan di dunia yang sementara tetapi mendamba kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.Lantas dia tidak mudah melatah dengan ujian yang dihadapi,kerana baginya itu satu peluang untuk memperoleh rahmat Allah di dunia dan akhirat.Firman Allah dalam Surah Az-Zumar:61 yang bermaksud,
 
“Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa kerana kemenangan mereka(pada hari kiamat).Mereka tidak disentuh oleh azab dan tidak bersedih hati.” 

4.Menginsafi diri bahawa ada manusia yang lebih dhaif.
Setiap kali ditimpa dugaan,manusia pasti merasakan dialah yang paling menderita dan bernasib malang di dunia ini.Walhal ada yang lebih dhaif darinya tetapi tidak pernah mengeluh,tetap redha dengan aturan Allah kepadanya.Manusia yang bertaqwa akan memandang kepada orang yang lebih bawah setiap kali didatangkan dengan ujian dariNya kerana hanya dari situ dia melihat dirinya lebih baik dan beruntung.Dia juga menanamkan qana'ah dalam dirinya dan menzahirkan rasa syukurnya kepada Allah dengan sebaiknya.Firman Allah dalam Surah Ibrahim:7 yang bermaksud,
 
“Dan ingatlah ketika tuhanmu memaklumkan,”Sesungguhnya jika kamu bersyukur,nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu,tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu,maka pasti azabKu amat berat.” 


Secara tuntasnya,Allah menguji hambaNya bukan tujuanNya untuk menyeksa,tetapi itu adalah suatu rahmat dariNya.Dan kerana Allah menciptakan manusia untuk kehidupan di akhirat,lantas dunia ini hanya tempat untuk mencari perbekalan.Firman Allah dalam Surah Al-Mukminn:115 yang bermaksud, 

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main2 saja,dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”.

Justeru,hadapilah ujian dariNya dengan hati yang redha kerana pasti ada hikmat yang tersembunyi disebaliknya.Kerana semakin sayang Allah pada manusia,semakin dia diuji,namun dirawatnya dengan sebaik-baik penawar iaitu ketenangan pada hati.Wallahu’alam.



LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...